Showing posts with label hidroponik. Show all posts
Showing posts with label hidroponik. Show all posts

Monday, July 17, 2023

Berjaya! Hidroponik menggunakan bekas aiskrim!

Rajah 1: Hidroponik dalam Bekas Aiskrim

Percubaan untuk menanam Sawi Kerinting secara hidroponik menggunakan bekas aiskrim telah berjaya dilakukan oleh ahli kelab PALS yang dibimbing oleh Cg. Syarkinah dan Cg. Tan di SK Trusan. Percubaan ini dilakukan sebagai satu eksperimen mudah untuk melihat kebolehjadian tanaman hidroponik menggunakan bekas aiskrim.

Dalam eksperimen ini, pembolehubah-pembolehubah yang telibat adalah seperti berikut:

  • Pembolehubah dimalarkan: (1) air, (2) sayur dan (3) cahaya matahari.
  • Pembolehubah dimanipulasi: (4) tempat tanaman (bekas aiskrim / batang paip); (5) pengaliran air (tiada / ada)
  • Pembolehubah bergerak balas; (6) kesuburan Sawi kerinting

Hasilnya adalah seperti Rajah 2 di bawah di mana tiada sebarang perbezaan yang ketara dapat diperhatikan antara hidroponik dalam bekas aiskrim dengan tanaman kawalan.

Rajah 2: Perbandingan Tanaman secara Pemerhatian

Oleh kerana kejayaan ini, Kelab PALS akan melaksanakan satu Projek Hidroponik Bekas Aiskrim peringkat sekolah pada masa akan datang di mana kami mensasarkan supaya semua murid dapat merasa sendiri keseronokkan menanam secara hidroponik (menggunakan bekas aiskrim). Projek ini akan kami dokumentasikan dan diterbitkan dalam sebuah buku sebagai rujukan semua pihak.


Dilaporkan oleh:

Tan Kan Tsai
Guru Penasihat Kelab PALS
SK Trusan

Pada: 18 Julai 2023

Monday, July 3, 2023

Cantik dan segar-segar sayur Hidroponik kami!

 


Sampai masanya untuk sawi kerinting ini dituai. nampaknya cukup cantik dan segar sayur-sayuran ini. Kami telah menanam sayur ini selama kira-kira 5 minggu dan hari ini kami telah tuainya dan kami telah menjual kepada guru-guru dan AKP sekolah. Hasilnya cumalah RM14. Tapi seronok apabila menampakkan hasilnya.

Dilaporkan oleh: 

Olivia Sara
Pengerusi Kelab PALS
SK Trusan
(4 Julai 2023)







Monday, April 10, 2023

Bengkel Tanaman Hidroponik: Jom Tanam Sayuran

 

Tarikh: 5 April 2023 (Rabu)
Masa: 2.00 petang - 3.30 petang

Pada hari rabu yang lepas, kami melakukan sebuah aktiviti menanam tanaman hidroponik.


Kami menanam tanaman ini dengan menggunakan pasu yang kecil dan masukkan span ke dalam pasu itu. kemudian, kami letakkan ke dalam paip, masukkan air dan letakkan biji benih ke dalam span.

Dilaporkan oleh: Natasyah dan Mira

Friday, January 6, 2023

Tahniah! Penerbitan ebook yang pertama!

 

Tahniah kepada PALS Rangers SK Trusan yang telah berjaya menyahut cabaran dalam menulis dan menerbitkan buku berkaitan dengan kajian eksperimental hidroponik dan aquaponik yang telah dilaksanakan pada tahun lepas, iaitu Tahun 2022.

Taman hidroponik PALS kami bukan sahaja untuk menanam sayur-sayuran organik tetapi juga merupakan satu alat untuk mendidik murid-murid sekolah berkaitan dengan tanaman hidroponik, alam sekitar dan juga nilai-nilai yang berkaitan dengan alam sekitar.

Buku yang telah kami terbitkan ini juga bukanlah untuk mencari keuntungan tetapi untuk mendokumentasi aktiviti kami serta berkongsi ilmu dengan sekolah-sekolah yang lain.

Diharap Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) SK Trusan akan lebih maju lagi pada masa akan datang!


Dilaporkan oleh:

Tan Kan Tsai
Guru Penasihat
Kelab Pencinta Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan Trusan.

Monday, December 5, 2022

Hasil Tanaman Hidroponik Kami!


Kami menuai sayur sawi pada pukul 11 pagi di rumah hijau hidroponik. Murid Tahun 6 telah membantu kami membuat eco bag. Kami telah menghasilkan 16 ikat sayur sawi dan 13 ikat telah dijual dengan harga RM2 seikat. Hasil jualan kami adalah RM26.

Terima kasih Cikgu Tan dan Cikgu Syarkinah kerana membimbing kami dan mengajar kami tentang hidroponik. Eksperimen hidroponik itu sangat menarik. Banyak yang telah kami belajar daripada eksperimen itu.

Dapatan eksperimen menunjukkan bahawa terdapat beberapa kelemahan dalam kajian ini. Ini adalah disebabkan oleh, kami terlepas pandang beberapa pembolehubah.
  1. Ruang untuk pertumbuhan akar (tanaman dalam botol dan tanaman aquaponik terbantut pertumbuhannya kerana tiada ruang yang cukup untuk akarnya bertumbuh).
  2. Cahaya matahari (menyebabkan air dalam botol ditumbuhi kulat).
  3. Keselamatan akar tanaman aquaponik (akar tanaman akuaponik telah dimakan ikan)
Oleh itu, kami mencadangkan beberapa penambahbaikan untuk eksperimen akan datang.
  1. Pasu hadroponik yang sama hanya digunakan untuk ketiga-tiga jenis tanaman supaya mempunyai wang yang cukup untuk pertumbuhan tanaman.
  2. Botol yang digunakan untuk tanaman hidroponik dalam botol harus dibalut dengan kain hitam untuk mengehadkan cahaya matahari pada air bagi mengelakkan pertumbuhan kulat.
  3. Akar tanaman aquponik harus dilindungi dengan cara memasang pagar supaya tidak dimakan ikan-ikan dalam aquarium.


Dilaporkan pada 6 Disember 2022 oleh:
  1. DK. NURUL ASFA (Tahun 4)
  2. NUR AMIRA FARHANA (Tahun 4)
Dikemaskini oleh: Tan Kan Tsai (8 Disember 2022)

Monday, November 21, 2022

Laporan Pemerhatian Eksperimen (Minggu ke-2)

 

Hasil Pemerhatian Eksperimen (Minggu ke-2)

Daripada pemerhatian hari ini, tanaman-tanaman itu menampakkan perbezaan yang cukup ketara.

Walaupun tanaman dalam botol itu mempunyai larutan yang sama dengan larutan dalam tangki (yang digunakan oleh tanaman kawalan), tetapi juga menunjukkan hasil yang sangat berbeza. Ini mungkin adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

1. Suhu air/larutan (Apabila dirasa dengan jari, amat jelas bahawa suhu air/larutan dalam botol adalah suam berbanding air/larutan tanaman kawalan yang sedikit sejuk)

2. Air yang mengalir (air tanaman kawalan adalah mengalir, berbanding air dalam botol yang tenang)


Dilaporkan oleh: Tan Kan Tsai (22 November 2022)


Thursday, November 17, 2022

Eksperimen Hidroponik & Aquaponik: Pemerhatian Ke-2 (Minggu 1)


Pada hari ini, PALS RANGERS telah membuat pemerhatian ke-2 dalam eksperimen yang telah dimulakan pada minggu lepas.


Terdapat 2 eksperimen yang dijalankan oleh PALS RANGERS. Eksperimen yang pertama adalah untuk melihat sekiranya terdapat perbezaan tanaman hidroponik dalam botol dan tanaman hidroponik di sistem hidroponik sekolah. 

Pembolehubah dimanipulasi: tempat tanaman (iaitu air mengalir dan tidak mengalir)



Eksperimen kedua adalah untuk melihat sekiranya tanaman dalam akuarium ikan secara akuaponik boleh memberikan hasil yang sama dengan hidroponik. 

Pembolehubah dimanipulasi: Nutrien tanaman (iaitu menggunakan larutan A&B dan kumuhan ikan sebagai baja).

Daripada hasil pemerhatian 1 yang dijalankan pada 14 Jun 2022, didapati tanaman di dalam botol dan aquaponik mempunyai batang yang lebih panjang sementara tanaman di sistem hidroponik (tanaman kawalan) mempunyai daun yang lebih besar.


Dapatan pemerhatian 1 ini disokong oleh pemerhatian 2 (pada 17 Jun 2022) apabila jelas didapati tanaman dalam sistem hidroponik (tanaman kawalan) mempunyai daun yang jauh lebih besar. Manakala tanaman di dalam botol dan akuaponik mempunyai batang yang lebih panjang.

Hipotesis: Murid-murid membuat hipotesis bahawa ini adalah disebabkan oleh cahaya matahari. Tanaman dalam botol dan aquaponik telah diletakkan di dalam bilik guru (yang mempunyai cahaya matahari terhad). Oleh itu, PALS RANGERS membuat keputusan untuk memindahkan semua tanaman itu ke rumah hijau. Dengan ini, semua tanaman itu akan menerima cahaya matahari yang sama dalam persekitaran yang hampir serupa.

Pemerhatian seterusnya ialah pada 21 November 2022. 


Dilaporkan oleh: Tan Kan Tsai (17 November 2022)

Wednesday, November 16, 2022

Penubuhan Blog Kelab PALS SK Trusan!

KELAB PALS 2022


Kelab PALS SK Trusan telah dipilih oleh barisan pentadbir untuk dijadikan sebagai kebitaraan sekolah. Kebitaraan sekolah merujuk kepada bidang kepakaran dan keistimewaan yang membezakan sesebuah sekolah dengan sekolah-sekolah yang lain.

Dengan kata lain, Sekolah Kebangsaan merupakan sebuah sekolah yang mengutamakan penyemaian nilai cinta akan alam sekitar dalam diri murid-muridnya. Antara program yang pernah dilaksanakan oleh pihak sekolah di bawah Kelab PALS ini adalah seperti Program Pembudayaan Kompos, Eksperimen Hidroponik dalam botol, dan Eksperimen Aquaponik.

Dalam program-program seperti ini murid-murid terlibat secara langsung dalam program-program alam sekitar dan seterusnya membina sikap ke arah memelihara dan memulihara alam sekitar.

Dengan penubuhan blog ini, murid-murid akan dilibatkan sebagai "penulis" blog secara tidak langsung mempelajari kemahiran menulis dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Selain itu, segala aktiviti yang dilaksanakan di bawah Kelab PALS ini akan dilaporkan secara online, secara tidak langsung mengurangkan penggunaan kertas selaras dengan slogan:

"Reduce Paper, Toward Greener Earth"

Ditulis oleh: Tan Kan Tsai (17 Nov 2022)